[Sam Ahmad] Bukan soal kepentingan diri sendiri mahu diketengahkan tapi tindakan kejam Sang Penguasa dan masyarakat majoriti kepada hak peribadi. Itu soal moral. Moral peribadi. Moral peribadi seseorang individu.
Selagi moral itu tidak menyentuh atau mengganggu individu yang lain, ia masih kuat dipanggil moral peribadi. Seperti yang diutarakan oleh John Stuart Mill di dalam bukunya yang berjudul On Liberty. Beliau memperkenalkan "prinsip gangguan" atau "harm principle". Menurut prinsip tersebut, selagi moral seseorang individu tidak mengganggu hak orang lain, selagi itu jugalah moralnya tidak boleh dikenakan sekatan dalam bentuk undang-undang.
Berbogel adalah suatu tabiat yang tidak bermoral bagi sesetengah masyarakat. Berbogel dalam rumah adalah suatu perbuatan tidak bermoral tetapi tidak boleh dikenakan sekatan atau tindakan undang-undang. Berbogel di khalayak ramai juga tidak bermoral tetapi boleh dikenakan sekatan atau tindakan undang-undang.
Cuma ia bergantung kepada suasana masyarakat dan undang-undang setempat. Pernah sekali diriwayatkan dalam kisah sahabat nabi tentang peristiwa ketika Khalifah Umar al-Khattab masih lagi menjadi Amirul Mukminin. Kisah di mana beliau mengintip seorang pemabuk di dalam sebuah rumah.
Beliau kemudiannya telah menceroboh masuk ke rumah tersebut dan ingin menangkap pemabuk berkenaan kerana mabuk dalam rumah sendiri.
Beliau berkata: "Aku ingin tangkap kau kerana satu kesalahan mabuk." Dibalas balik oleh pemabuk berkenaan: "Kau tak boleh tangkap aku. Aku lakukan satu kesalahan sahaja sedangkan kau telah lakukan dua kesalahan". "Apa kesalahan-kesalahanku?" tanya Umar semula. "Pertama, mengintip aku dan kedua, kau menceroboh masuk ke rumahku tanpa memberi salam."
Rumah juga adalah hak individu. Hak peribadi. Apa yang berlaku dalam peristiwa di atas boleh dibuat pengajaran. Pelajaran pertama: kalau nak buat perkara tak bermoral, buatlah di rumah dan melibatkan hak kita sahaja. Pelajaran kedua: jangan ceroboh hak peribadi seseorang, kerana itu tabiat yang paling tak bermoral!
Moral manusia berbeza antara manusia. Ini mengikut budaya, persekitaran dan kepercayaan masing-masing. Ini juga bukan mahu mengelaskan manusia kepada berbangsa-bangsa tetapi itu hakikat hidup manusia. Seperti termaktub dalam al-Quran, surah al-Hujurat, yang kurang lebih bermaksud; "Aku cipta manusia dari pelbagai keturunan dan bangsa adalah bertujuan untuk saling mengenali antara satu sama lain".
Darwin juga mengakui perbezaan manusia yang ini. Manusia jika dikaji secara saintifik mempunyai ciri-ciri yang berlainan mengikut kawasan. Perbezaan manusia inilah yang dipanggil sebagai bangsa. Sudah tentulah dari ciri yang ini, manusia juga berbeza dari tindakan moral mengikut kawasan, pergaulan, budaya dan suasana.
Mana mungkin moral dapat disatukan dengan undang-undang. Paksaan dalam mematuhi undang-undang adalah sesuatu yang dipanggil oleh John Stuart Mill sebagai "government tyranny" atau "kezaliman kerajaan". Tiada kuasa juga bagi masyarakat setempat untuk menetapkan moral yang patut dipatuhi. Menurut beliau perbuatan ini boleh dikategorikan sebagai "social tyranny" atau "kezaliman masyarakat". Moral sepatutnya di amalkan dengan rela hati dan tanpa paksaan. Ini soal pilihan dan hak.
Bukankah dalam ajaran Islam juga menyemaikan semangat keikhlasan. Dalam al-Quran sendiri ada menyatakan bahawa, "tiada paksaan dalam beragama". Soal moral yang berkait rapat dengan agama atau ad-deen juga tidak boleh dipaksa. Ini soal hak dan pilihan. Dalam mendaulatkan masyarakat bertamadun atau "civil society" paksaan adalah sesuatu yang bersifat membunuh.
Biarkanlah masing-masing punya hak dan tabiat masing-masing. Selagi individu tersebut tidak mengganggu hak orang lain selagi itulah perbuatan tidak bermoral yang dilakukannya adalah atas tangungjawabnya sebagai manusia bersendirian.
Dalam tahun 1976, Williams Comittee on Obscenity, juga telah memberi cadangan bahawa semua bahan porno atau lucah tidak perlu sepenuhnya diharamkan, tapi mendedahkannya di khalayak ramai patut disekat. Masalah bahan porno dan lain-lain bahan lucah bersangkutan dengan moral.
Namun demikian prinsip kemasyarakatan harus dijaga. Hampir semua kepercayaan dan agama mahukan penganut mereka jadi baik. Bermoral. Titik kesempurnaan manusia bila hidup di muka bumi ini ialah - baik.
Dalam kepercayan Buddha, ada menyebut lima petua yang harus diikut penganutnya. Iaitu, tidak membunuh, tidak mencuri, tidak berzina, tidak berbohong dan tidak mengambil minuman atau makanan yang memabukkan. Ini bagi penganut Buddha adalah perkara yang tidak bermoral. Ia harus dijauhi.
Dalam Islam juga ada konsep "amar maaruf nahi mungkar". Mengajak orang kepada kebaikan dan mejauhkan orang dari kejahatan. Maka pergunakanlah ruang hak dan pilihan tersebut dengan sebaik mungkin. Hak seseorang individu kepada individu yang lain ialah nasihat.
Diingatkan - nasihat bukan paksaan. Kemudian hormatilah pilihan individu tersebut. Dia mahu ikut atau tidak mahu, terpulang kepada pilihannya. Itu juga adalah hak individu tersebut selagi ia tidak melanggari hak orang lain. Hak kita yang telah menasihati ialah menghormati keputusannya.
Konsep menghormati pilihan seseorang, boleh dilihat dalam al-Quran, Surah al-Kafirun, "aku tidak menyembah apa yang kamu sembah. Untukmu, agamamu. Untukku, agamaku". Ruang kebebasan untuk memiliki pendirian dan pegangan sendiri langsung menunjukkan kita punya pilihan. Kita punyai pilihan dan autonomi terhadap diri kita sendiri! Pergunakannya dengan bijak!
Maka, Sang Penguasa dan masyarakat majoriti tidak boleh mengganggu hak individu dan moral peribadi seseorang individu. Selagi moralnya dan amalan buruknya tidak mendatangkan kesan ke atas orang lain, selagi itu dia punya autonomi terhadap segala perbuatannya.
Dunia hari ini semakin kecil, namun kompleks. Jalankan hak dan tanggungjawab sebagai manusia dengan jalan yang boleh difikirkan betul. Ini hal peribadi yang patut difikirkan!!!
*versi sebelum diedit dan disiarkan di majalah Siasah 2002
Ini hal peribadi!
Friday, 9 April 2010
09:38
|
Labels:
sam ahmad,
team perakex
|
This entry was posted on 09:38
and is filed under
sam ahmad
,
team perakex
.
You can follow any responses to this entry through
the RSS 2.0 feed.
You can leave a response,
or trackback from your own site.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
tiada paksaan dalam beragama..
pada saya fahamannya begini. maksud ungkapan tersebut ialah tiada paksaan kepada sesiapa memilih apa2 agama pun selagi difikirkannnya agama itu benar baginya. tetapi setelah dia memilh Islam sebagai agama atau agama lain, wajarlah dia mengikut hukum hakam Islam atau hukum hakam agama tersebut.
kita contohkan sebagai seorang perajurit. adakah munkin perajurit itu dibolehkan ia berambut panjang..?
tentu lah tidak, kerana dia telah bersumpah untuk mematuhi segala kehendak2 seorang perajurit. tetapi dia bebas samada mahu menyertai pasukan perajurit itu atau tidak.
pandangan saya demikian lah analoginya.
bahaya Sam untuk kita nak tafsir sesuatu yang kita tidak arif mengenainya. kerana tulisan ini dibaca ramai orang. takut mereka beranggapan kita authetic untuk mentafsir lalu mereka mempraktis pandangan kita yang silap itu. harap tuan berhati-hati.
yup... sy akn lebih berhati-hati selepas ini... lgpun ia tulisan tahun 2002 dn tulisan tu sebelum diedit, spatutnya sy baca dulu sebelum menyiarkannya...
Post a Comment